PETALING JAYA – Jika dahulu, jawatan ketua kampung sinonim dengan orang lama yang sudah berusia, namun kini semakin ramai anak muda diberi kepercayaan menerajui pentadbiran kampung dengan suntikan tenaga baharu dan idea segar.
Malah, ada dalam kalangan mereka yang memegang jawatan itu seawal usia 30-an dan sudah digelar ‘tok’ oleh penduduk setempat, meskipun usia masih muda.
Di Dengkil, seorang anak muda, Muhammad Nazmi Abdul Razak dilantik menjadi Ketua Kampung Jenderam Hilir pada tahun lalu ketika usianya 34 tahun.
Katanya, walaupun panggilan ‘tok’ kedengaran janggal pada awalnya, namun gelaran itu kini sudah sebati dalam diri selepas sering disuarakan penduduk.
“Sebelum ini ada juga rasa janggal dan kelakar apabila ada orang lebih tua memanggil saya tok, malah ada juga yang mencium tangan saya ketika bersalam.
“Ketika ditawarkan jawatan ketua kampung pada 2024, pada awalnya saya tolak, namun selepas berbincang selama sebulan, saya sedia berkhidmat untuk masyarakat,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, pada awal penglibatan, beliau turut berdepan kesukaran termasuk kurang mendapat kepercayaan daripada golongan lebih tua disebabkan faktor umur.
“Setelah saya membuktikan kemampuan dengan beberapa perubahan dilaksanakan di kampung serta pelbagai program dianjurkan, mereka mula menerima,” katanya.
Ditanya mengenai pengalaman menguruskan masalah di kampung, beliau berkata, pelbagai hal perlu diselesaikan seperti isu jalan rosak, kutipan sampah dan infrastruktur.
“Semua masalah itu saya cuba selesaikan dengan sebaik mungkin bagi memastikan kesejahteraan penduduk terjaga dan terus mendapat sokongan mereka,” katanya.

Di Pontian, Ketua Kampung Kawasan (6) Mukim Rimba Terjun, Mohamad Halif Kamaruddin, 36, berkata, beliau mengisi jawatan itu pada Januari 2021 ketika usia 31 tahun selepas tiada pihak yang berminat untuk menjadi ketua kampung.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Pengajian Kepenggunaan dari Universiti Putra Malaysia dan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Malaysia menyifatkan pendidikan tinggi hanya sebagai nilai tambah dan keyakinan diri.
“Pada mulanya memang hadapi masalah untuk mengurus 13,000 penduduk di kawasan (6) Mukim Rimba Terjun, melibatkan sebuah Kampung Induk, lima Kampung Rangkaian dan 11 Taman Perumahan.
“Setelah empat tahun, saya makin selesa dengan tugas walaupun menerima elaun RM1,200 sebulan berbanding kelulusan tinggi yang dimiliki,” katanya.
Menurutnya, tugas akan menjadi lebih mudah apabila mengetahui saluran mana yang patut dituju dalam setiap masalah.
Katanya, penguasaan teknologi maklumat juga memberikan kelebihan kepada orang muda kerana semua laporan dari Pejabat Daerah memerlukan maklum balas segera.

Di Seremban, Muhammad Jailani Ahmad Zawawi mencuri perhatian apabila dilantik Ketua Kampung Batang Benar pada usia 36 tahun, menjadikannya antara ketua kampung termuda di Negeri Sembilan.
Memasuki penggal kedua sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Jailani berkata, pelantikan generasi muda adalah strategi kepimpinan negeri untuk memperkasa pentadbiran kampung.
Beliau mengakui wujud sedikit keraguan pada awal pelantikan, namun penerimaan masyarakat semakin baik selepas beliau turun padang secara konsisten serta menggerakkan program gaya hidup sihat dan aktiviti belia.
Jailani turut memimpin pasukan penggali kubur Masjid As-Siddiqin, peranan yang dilaksanakan sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Awalnya agak janggal juga apabila dipanggil ‘tok’, tapi tanggungjawab itu perlu ditunaikan,” katanya. -KOSMO! ONLINE














