TAMPIN – Pekebun di Jalan Haji Jamin, Kampung Air Ati-Ati di Gemencheh, di sini, kesal apabila pembentung baharu dibina didakwa rosak kira-kira sebulan selepas projek berkenaan disempurnakan.
Suzainie Mohtar, 51, berkata, kerosakkan disedari pertengahan bulan lalu sebelum melaporkannya dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam pada 21 Oktober lalu.
Menurutnya yang merupakan bekas pegawai pemulihan anggota (fisioterapi) hospital swasta, dia kesal apabila dimaklumkan kerja-kerja baik pulih akan dilaksanakan dalam peruntukan akan datang.
“Saya bimbang sebab bila jalan mendap, bahaya masuk ke dalam kebun menggunakan kenderaan. Macam kebun saya tak apa lah, dalam 50 meter sahaja dari lokasi boleh jalan kaki, kebun individu yang lain pula beratus-ratus meter.
“Harap mendapan dan runtuhan struktur pembentung ini dapat dibaik pulih segera bagi mengelakkan laluan pekebun terputus susulan sekarang musim hujan,” katanya.
Jalani Md Saleh, 67, pula berkata, dia berhasrat untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit di kebunnya itu, namun bimbang apabila laluan di pembentung tersebut mendap.
“Kami timbunkan sendiri tanah bagi elak runtuhan lebih teruk. Ikutkan, jalan baharu ni memang bagus, cantik, mudahkan kita, namun pembentung tak sesuai,” katanya. -KOSMO! ONLINE














