REMBAU – Seorang pekerja kilang dikejutkan dengan penemuan satu mayat yang disumbat di dalam beg di belakang rumah arwah ibunya di Kampung Batu 4, Pedas di sini hari ini.
Pekerja kilang berusia 30an itu berkata, dia terkejut apabila mendapat panggilan daripada ibu saudaranya pada pukul 4 pagi memaklumkan polis mahu masuk ke kawasan rumahnya untuk pemeriksaan.
Katanya, rumah itu sudah dua tahun ditinggalkan dan kali terakhir datang ke situ ialah pada 4 Disember lalu.
“Bila saya tiba pukul 9 pagi, polis sudah ramai dan tidak dibenarkan masuk. Saya cuma datang sini untuk tengok rumput belakang dan cadang mahu kumpul adik-beradik untuk kemas-kemas tetapi ditangguhkan kerana cuaca kerap hujan.
“Rumah itu berusia 30 tahun dan kerap ada gangguan mistik. Ada nampak pocong dalam rumah, ada kena cakar, jadi dah dua tahun ditinggalkan, kami pulang hanya untuk kemas-kemas sahaja atau ambil barang,” katanya.
Menurut wanita itu, dia tidak tahu mayat siapa dan tidak pasti apa ceritanya kerana polis melarang orang awam memasukinya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.-KOSMO! ONLINE.














