KUALA LUMPUR – Lebih 20 juta atau 92 peratus daripada lebih 22 juta rakyat Malaysia dewasa telah berbelanja menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) one-off dengan nilai perbelanjaan melebihi RM1.91 bilion.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagi Sara bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula, sehingga semalam hampir 5.6 juta penerima menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan asas di premis berdaftar dengan kadar penggunaan 99 peratus serta nilai perbelanjaan RM4.59 bilion.
“Sara mendapat sambutan baik daripada penerima, malah ia mudah digunakan dengan hanya memerlukan MyKad penerima termasuk daripada golongan warga emas dan rentan,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan prestasi pelaksanaan program Sara bulanan tahun 2025, kadar penggunaan tertinggi telah dicatatkan di Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Ini melibatkan purata 100 peratus tuntutan penggunaan MyKad dalam pembelian di kedai-kedai runcit berdaftar dan seterusnya menafikan kelewatan penggunaan Sara di sebahagian kawasan luar bandar.
“Perbelanjaan Sara bulanan dan penghargaan Sara tidak boleh dibawa ke tahun hadapan dan perlu dihabiskan dalam tahun semasa atau sebelum 31 Disember 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE














