fbpx
AZMAN SHAH (duduk, kanan) bersama Pengurus Besar NIZE, Steven Huang menandatangani perjanjian kerjasama.

Kerjasama MMC Ports, NIZE pacu inisiatif pelabuhan pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – MMC Port Holdings Berhad (MMC Ports) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan NIZE Intelligent Technology Co., Ltd (NIZE), syarikat teknologi bawah Shanghai International Port (Group) Co., Ltd (SIPG) dalam membangunkan pelan induk transformasi digital komprehensif.

Perkongsian strategik itu menandakan pencapaian penting dalam perjalanan MMC Ports ke arah pendigitalan dan kecemerlangan operasi dengan memanfaatkan kepakaran terbukti SIPG sebagai pengendali Pelabuhan Shanghai, iaitu pelabuhan kontena terbesar di dunia dan antara yang paling maju.

Dengan mengadaptasi rangka kerja operasi SIPG, yang mengendalikan sebanyak 51.5 juta TEU tahun lalu, MMC Ports berhasrat mengguna pakai penyelesaian yang telah terbukti di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, pihaknya melaksanakan transformasi digital dengan bersandarkan kepada realiti semasa.

“Menerusi kerjasama NIZE, kami ingin memastikan pelan induk digital kami dibangunkan berdasarkan seni bina teknologi yang telah diuji di lapangan.

“Ini membolehkan semua pelabuhan kami merangka laluan ke arah kecekapan operasi bertaraf dunia dengan jelas dan penuh keyakinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MoU berkenaan mewujudkan rangka kerja kerjasama antara kedua-dua pihak untuk tempoh lima tahun, melibatkan kajian kebolehlaksanaan bagi tiga inisiatif teras iaitu Pelan Hala Tuju Induk Digital MMC Ports, Papan Pemuka Kumpulan MMC Ports, dan Bukti Konsep Digital Twin. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN