KAPTEN skuad Harimau Malaya, Matthew Davies dan ketua jurulatih, Peter Cklamovski sepakat penyerang Bayern Munich, Harry Kane sebagai bintang bola sepak terbaik di dunia sepanjang tahun ini.
Menerusi hebahan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), semua kapten skuad kebangsaan serta ketua jurulatih telah diberikan peluang untuk mengundi pada Anugerah The Best FIFA 2025 yang diumumkan secara rasmi kelmarin.
Davies yang juga tonggak kelab Johor Darul Ta’zim turut tidak tidak melepaskan peluang untuk membuat undian peribadi dengan memilih tiga pemain yang dianggap paling konsisten sepanjang tahun 2025.
Davies memilih Kane yang juga pemain antarabangsa England selaku pilihan utama disusuli pemain sensasi Chelsea, Cole Palmer (kedua) dan Ousmane Dembele yang menjadi juara sebagai pilihan ketiga.
Sementara itu, Cklamovski turut senada dengan Davies apabila memilih Kane selaku pilihan pertama, Mohamed Salah (bintang Liverpool/Mesir) kedua dan Dembele (ketiga).
Bagaimanapun, pilihan utama mereka tidak ‘tepat’ apabila Anugerah The Best FIFA edisi 2025 menjadi milik Dembele yang mendominasi kategori pemain terbaik lelaki selepas mengumpul 50 mata.
Dembele yang membantu kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG) menjuarai enam trofi tahun ini termasuk Piala Intercontinental dengan menewaskan Flamengo 2-1 di pentas final, awal pagi tadi.














