PONTIAN – Dua nelayan nyaris lemas apabila bot yang mereka naiki karam ketika menjaring ikan di kedudukan 2.9 batu nautika di Timur laut Tanjung Piai, di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) pada pukul 6 pagi.
Katanya, berikutan maklumat tersebut, sebuah bot Perkasa 42 telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan dan melaksanakan operasi menyelamat.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5 pagi apabila bot mangsa dipukul ombak dari arah belakang menyebabkan bot menjadi tidak stabil sebelum terbalik.
“Kedua-dua mangsa sempat berpaut pada bot dan menghubungi bantuan sebelum diselamatkan oleh nelayan dari Jeti Pengkalan Kampung Pok,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Kama Azri, kedua-dua mangsa yang berusia 57 dan 47 tahun telah selamat dibawa ke jeti Forest City dan menerima rawatan susulan,-KOSMO! ONLINE














