fbpx
Marhamah (dua dari kiri) dan Noraidah ketika hadir ke Mahkamah Koroner, Ogos lalu.

Tahniah puan, banyak jasa kepada saya – Ibu Zara Qairina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA- Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, mengucapkan tahniah kepada aktivis Marhamah Rosli atas pelantikan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Noraidah, 45, dalam hantaran di Facebook memuat naik ucapan tersebut sejurus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kabinet baharu semalam.

“Alhamdulillah. Tahniah puan, banyak jasa puan ni kepada saya. Hanya Allah SWT saja mampu membalasnya. Doa yang baik-baik untuk puan. Semoga dilindungi Allah selalu,” tulisnya.

Dalam hantaran yang sama, Noraidah menegaskan bahawa perjuangannya demi keadilan Allahyarham anaknya masih diteruskan, dengan menyertakan ayat ‘#JusticeForZara masih bergema’.

Noraidah turut berkongsi satu lagi hantaran yang memaparkan video mengenai pelantikan Marhamah.

Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.

Selepas kejadian itu, Marhamah merupakan antara individu terawal yang tampil menyokong Noraidah dalam menuntut keadilan.

Dalam pengumuman Kabinet baharu semalam, jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kini digalas Dr Zulkifli Hasan menggantikan Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Manakala, jawatan Timbalan Menteri pula digalas oleh Marhamah Rosli.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI