PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkasakan kefahaman pengurusan kewangan dalam kalangan pelajar melalui penganjuran program ‘Smart Next Gen’ di Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, program itu merupakan salah satu inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan berkongsi ilmu dan pengalaman dalam pelbagai bidang.
Katanya, insiatif itu juga dilaksanakan bagi membantu pelajar membuat persediaan awal dalam menghadapi alam kerjaya selepas tamat pengajian.
“Melalui program ini, pelajar turut diberikan fokus utama kepada pendedahan ilmu literasi kewangan termasuk perancangan simpanan dan pengurusan hutang.
“Program ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif pemerkasaan pelajar yang telah dilaksanakan sebelum ini seperti Program Literasi Kewangan dan Persediaan Kerjaya pada tahun 2022 dan 2023 serta Program Campus To Career with PTPTN pada tahun 2024 yang memberi penekanan kepada perancangan kewangan berhemah serta pembentukan tabiat kewangan yang mampan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Norliza berkata, program Smart Next Gen menampilkan pelbagai sesi menarik oleh pakar motivasi serta panel berpengalaman yang memberi panduan praktikal dan inspirasi untuk membentuk pelajar berdaya saing.
“Pendekatan ini menzahirkan komitmen PTPTN bukan sahaja dalam menyediakan pembiayaan pendidikan malah dalam melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Program Generasi Next Gen juga memberi pendedahan berkaitan kemahiran pengurusan kewangan yang selari dengan keperluan semasa,” katanya.
Katanya, kesedaran awal mengenai pengurusan hutang, kepentingan penabungan dan amalan kewangan berhemah perlu diterapkan agar pelajar mampu membuat keputusan bijak termasuk memilih instrumen simpanan yang menawarkan pelbagai manfaat serta pulangan jangka panjang. – KOSMO!ONLINE














