fbpx
Mohd Nasri (empat dari kanan) pada majlis penyerahan geran perubatan kepada enam organisasi kebajikan di Rumah McDonald House di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO

RMHC Malaysia salur geran perubatan RM480,000 bantu kanak-kanak sakit tenat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia hari ini menyalurkan geran perubatan berjumlah RM480,000 kepada enam organisasi kebajikan berkaitan hospital bagi membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit serius mendapatkan rawatan yang berpotensi menyelamatkan nyawa.

Sumbangan berkenaan memberi kelegaan kepada keluarga yang berdepan kekangan kewangan dalam usaha memastikan anak mereka menerima rawatan sewajarnya, tanpa perlu berhadapan dengan realiti pahit terpaksa memilih antara kemampuan kewangan dan nyawa anak.

Enam organisasi kebajikan berkenaan ialah Yayasan IJN, Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak Hospital USM (Peka), Tabung Kebajikan Pesakit Hospital TABTAR UKM, Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Tunku Azizah, PPUMCare serta Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia HWKKS.

Dana terbaharu itu merupakan kesinambungan kepada geran RM300,000 yang diumumkan RMHC Malaysia pada September 2025 dan disalurkan kepada enam organisasi kebajikan sama, sekali gus mencerminkan komitmen jangka panjang organisasi berkenaan dalam membantu keluarga yang mempunyai anak sakit.

Dengan penyaluran terbaharu ini, jumlah keseluruhan geran perubatan yang telah disumbangkan RMHC Malaysia sejak 2018 kini melebihi RM2.1 juta, memberikan peluang kedua kepada keluarga di seluruh negara untuk mendapatkan rawatan sewajarnya buat anak-anak mereka.

Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Nordin berkata, antara perkara paling sukar untuk diungkapkan oleh ibu bapa ialah apabila terpaksa memberitahu anak mereka tidak mampu menanggung kos rawatan.

“Keluarga tidak sepatutnya dipaksa memilih antara nyawa anak dan bil rawatan. Geran perubatan ini adalah komitmen kami bahawa setiap sumbangan merupakan satu peluang untuk kanak-kanak sembuh, membesar dan menikmati kehidupan sebagai kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di RMHC di Hospital Tunku Azizah, di sini hari ini.

Menurut beliau, RMHC Malaysia akan terus berdiri teguh bersama hospital serta dana kebajikan agar keluarga dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada perkara paling penting, iaitu berada di sisi anak mereka ketika menerima rawatan.

Sementara itu, Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur, Pengerusi Jawatankuasa Sosial dan Kebajikan serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan IJN merakamkan penghargaan terhadap sokongan berterusan RMHC Malaysia.

“Kami amat menghargai kepercayaan dan komitmen RMHC terhadap misi kami. Kerjasama ini melangkaui konsep ‘rumah jauh dari rumah’ kerana ia turut membantu membiayai rawatan jantung kritikal dan pembedahan bagi kanak-kanak kurang bernasib baik,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah membuka peluang kepada kanak-kanak untuk menikmati masa depan yang lebih sihat.

Dalam pada itu, Sivabalan Lecthuminadan, bapa kepada Vellvilye Sivabalan, 2, dari Sungai Buloh yang merupakan penerima manfaat program tersebut berkata, geran perubatan RMHC telah banyak membantu keluarga yang berdepan tekanan dan ketidakpastian akibat penyakit serius anak mereka.

“Geran ini bukan sahaja membantu keluarga seperti kami, malah ramai lagi yang melalui saat paling mencabar dalam kehidupan. Sokongan ini amat kami hargai,” katanya.

Program Geran Perubatan RMHC Malaysia melengkapi empat inisiatif utama organisasi itu iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, Gift of Smile dan Program Pek Kembali ke Sekolah yang secara keseluruhan bertujuan menghapuskan halangan rawatan, mengukuhkan institusi keluarga serta menyokong proses penyembuhan kanak-kanak di seluruh negara.

RMHC Malaysia telah beroperasi selama 35 tahun dengan misi membangunkan, menambah baik dan menyokong program yang meningkatkan kesihatan serta kesejahteraan kanak-kanak yang memerlukan di Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI