PETALING JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan SosiaL (Perkeso) membangunkan Modul Advokasi Keselamatan Jalan Raya (Edisi Pertama 2025).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ia bertujuan meningkatkan tahap kesedaran serta memperkasakan advokasi keselamatan jalan raya secara bersepadu dan berterusan.
Menurutnya, pembangunan modul itu selaras Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022–2030 yang menyasarkan pengurangan sebanyak 50 peratus kadar kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang 2030.
“Modul ini akan menjadi panduan komprehensif melibatkan lima golongan sasaran utama, iaitu pelajar, belia, komuniti, para pekerja dan pemandu kenderaan berat, yang merupakan antara pengguna jalan raya terbesar di negara ini.
“Kerjasama ini juga membolehkan JPN melaksanakan advokasi bersasar kepada komuniti pekerja dan syarikat yang mempunyai kadar insiden lebih tinggi berdasarkan data dan profil syarikat Perkeso,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, melalui pendekatan ini, program advokasi JPJ dapat meningkatkan keberkesanan intervensi pendidikan keselamatan jalan raya.
“JPJ merakamkan penghargaan kepada PERKESO atas kerjasama strategik ini dan komited untuk memperkukuh lagi usaha bersama dalam meningkatkan keselamatan jalan raya demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














