fbpx
ANTARA jalan yang dinaiki air di sekitar daerah Kuantan.

Lapan jalan ditutup di Kuantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Sebanyak lapan buah jalan di daerah ini ditutup akibat dinaiki air susulan hujan berterusan sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, setakat ini sebanyak enam jalan ditutup kepada semua kenderaan dan dua jalan ditutup kepada kenderaan ringan.

Katanya, jalan yang tidak boleh dilalui semua kenderaan ialah di Kilometer 36 Jalan Kuantan-Maran, Jalan Air Hitam, Jalan Kampung Pasir Kemudi, Jalan Kampung Bukit Bangkong, Jalan Kuantan-Pekan dan jalan di hadapan Universiti Pahang Sultan Ahmad Shah (UnipSAS) iaitu jalan arah Pekan-Kuantan.

Tambahnya, jalan yang ditutup kepada kenderaan ringan pula ialah di Kilometer 30 Jalan Kuantan-Maran dan Kilometer 16 Jalan Sungai Lembing di sini.

“Orang awam dinasihatkan agar tidak menggunakan jalan-jalan yang dinaiki air dan ditutup kepada lalu lintas, khususnya di kawasan rendah serta berhampiran sungai dan parit besar.

“Penutupan jalan dibuat bagi mengelakkan risiko kemalangan, kerosakan kenderaan serta ancaman keselamatan nyawa,”katanya.

Menurutnya pihak polis akan terus melaksanakan kawalan lalu lintas, rondaan keselamatan serta bantuan pemindahan di kawasan terjejas.

Katanya, Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan memberi jaminan bahawa pemantauan dan penugasan anggota akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan keselamatan penduduk serta kelancaran operasi bantuan bencana.

“PDRM menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah segera ke PPS apabila diarahkan serta tidak meredah banjir atau cuba melalui jalan yang dinaiki air.

“Perlu juga mengelakkan aktiviti berhampiran arus deras, longkang, parit dan sungai dan sentiasa memantau makluman rasmi daripada pihak berkuasa,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI