KHARTOUM – Ketua de facto Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan bersedia untuk bekerjasama dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menyelesaikan konflik yang memecahbelahkan negaranya.
Kementerian Luar negara itu mengeluarkan kenyataan tersebut selepas ketua Angkatan Tentera Sudan (SAF) itu melawat Riyadh sebagai tetamu Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman. Beliau baru-baru ini mengumumkan pelan damai Sudan yang dicadangkan kepada Trump semasa lawatan ke Washington.
Menurut kenyataan Sudan, Abdel Fattah memuji keazaman Trump untuk terlibat dalam usaha mencapai keamanan dan menamatkan perang di negara itu, dengan penyertaan kerajaan Arab Saudi.
“Beliau mengesahkan keinginan Sudan untuk bekerjasama dengan Presiden Trump, setiausaha negara AS dan utusannya untuk keamanan di Sudan bagi mencapai matlamat mulia yang tidak dapat dipertikaikan ini,” kata kenyataan tersebut.
Usaha keamanan antarabangsa yang diketuai oleh pengantara dari AS, Mesir, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) terhenti sejak Abdel Fattah menolak rangka kerja cadangan terakhir yang digariskan.
Beliau menuduh pengantara sebagai berat sebelah dan menerima pakai butiran perbincangan daripada UAE, yang turut dituduh membekalkan senjata dan menyokong musuhnya, Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
RSF sebelum ini berkata, ia menyokong pelan gencatan senjata antarabangsa, namun pertempuran sengit masih berterusan, terutamanya di wilayah selatan Kordofan.
Buat masa ini, tiada tarikh baharu diumumkan untuk rundingan, sama ada di bawah pengantara yang diketuai AS mahupun usaha selari yang diketuai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sejak April 2023, Sudan dilanda perang saudara yang antara SAF yang mengawal utara dan timur negara itu dengan RSF yang dominan di barat dan kawasan tertentu di selatan. – AFP














