PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan beberapa negeri sehingga esok.
MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, amaran tersebut dikeluarkan meliputi tiga seksyen iaitu Seksyen A bagi amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di Pahang.
“Hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Pahang melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin sehingga Khamis ini.
“Sementara itu, bagi Seksyen B iaitu amaran hujan berterusan tahap buruk dijangka akan berlaku di Terengganu melibatkan daerah Dungun dan Kemaman,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, turut terlibat dalam amaran itu ialah negeri Pahang (Jerantut, Maran dan Bera) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) sehingga esok.
“Bagi Seksyen C iaitu amaran hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku di sembilan buah negeri sehingga esok.
“Hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh) dan Selangor,” katanya.
Selain itu, turut dikenakan amaran sama ialah Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru). – KOSMO! ONLINE














