PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan menteri dan timbalan menteri supaya sentiasa turun padang dan mendengar suara rakyat.
Seri Paduka Baginda bertitah bertitah, anggota Jemaah Menteri mesti sentiasa menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti serta mengutamakan kepentingan rakyat.
Titah Seri Paduka Baginda, keutamaan kerajaan antara lain menitikberatkan kesejahteraan rakyat, kestabilan negara serta kemakmuran ekonomi seiring prinsip tadbir urus yang baik.
“Menteri dan timbalan menteri perlu sentiasa turun padang mendengar suara rakyat. Anda perlu menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi dan komitmen tinggi,” titah Seri Paduka Baginda hari ini.
Selain itu, Sultan Ibrahim turut bertitah supaya anggota Jemaah Menteri bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan cekap dan berkesan.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan.
Majlis yang berlangsung di Istana Negara hari ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. – KOSMO! ONLINE














