JEMPOL – Selepas hampir tiga hari bertarung nyawa, seorang warga emas disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital selepas motosikal yang dia tunggang terbabas masuk ke dalam parit di kebun Palong 13, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 pagi itu, warga emas berusia 67 tahun itu dalam perjalanan dari rumah hendak ke kebun untuk menoreh getah.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, dipercayai penunggang motosikal itu telah hilang kawalan lalu terbabas sehingga jatuh ke dalam parit.
“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala serta di bahagian dada dan di bawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah untuk menerima rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, kira-kira pukul 9.45 malam tadi, warga emas berkenaan disahkan telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad unit rawatan rapi Hospital Tuanku Jaafar di Seremban,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














