fbpx
Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari

Taufiq Johari dilantik Menteri Belia dan Sukan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu menggantikan Hannah Yeoh, susulan rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Taufiq, 29, yang pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022, merupakan anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-11, Tan Sri Johari Abdul.

Pengumuman pelantikan itu dibuat Anwar ketika mengumumkan perubahan barisan Kabinet pada Selasa (16 Disember) yang turut menyaksikan beberapa pertukaran portfolio menteri dan timbalan menteri.

Hannah Yeoh yang menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 2022, kini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) selepas hampir tiga tahun memegang jawatan berkenaan.

Difahamkan, Hannah masih akan menyelesaikan tugasan berkaitan Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadual berakhir pada 20 Disember ini, sebelum mengalihkan sepenuh perhatian kepada portfolio baharunya.

Selain itu, Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu menggantikan Adam Adli Abdul Halim.

Adam Adli pula bertukar portfolio dan kini memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, sejajar dengan penyusunan semula kepimpinan kerajaan.

Upacara angkat sumpah jawatan bagi pelantikan baharu ini dijadual berlangsung di Istana Negara pada Rabu (17 Disember). KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN