PETALING JAYA – Gandingan utama negara, Muhammad Rafiq Ismail dan Muhammad Syazirol Shamsudin, terus mengukuhkan reputasi sebagai sandaran emas apabila merangkul pingat emas beregu boling lelaki di Sukan SEA 2025.
Kejayaan itu diserikan lagi dengan pencapaian podium berganda buat kem negara apabila satu lagi pasangan Malaysia, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Tsen Fan Yew, turut menyumbang pingat gangsa dalam acara sama.
Keputusan tersebut sekali gus mengesahkan dominasi boling negara dalam acara beregu lelaki, selain memperlihatkan momentum skuad Malaysia yang mampu menghadirkan lebih daripada satu pasangan di podium.
Buat Syazirol, emas beregu itu melengkapkan kempen cemerlangnya selepas terlebih dahulu menyumbang pingat gangsa acara perseorangan, menjadikannya antara atlet paling konsisten dalam kontinjen boling negara setakat ini.
Lebih penting, kejayaan beregu lelaki itu hadir tepat pada masanya sebagai pemangkin moral menjelang saingan acara berpasukan lelaki pada Khamis yang dianggap antara sasaran utama kem negara di temasya kali ini.
Dengan momentum kemenangan dan keyakinan yang semakin memuncak, skuad boling negara kini berada pada landasan terbaik untuk meneruskan cabaran memburu emas seterusnya di pentas Sukan SEA Thailand 2025. – KOSMO! ONLINE














