BANGKOK – Raja pecut Thailand, Puripol Boonson melengkapkan mahkota tiga emas peribadi pada temasya Sukan SEA 2025 apabila mengetuai negaranya menjuarai 4×100 meter (m) lelaki di Stadium Nasional Suphachalasai malam kelmarin.
Pelari terpantas Asia Tenggara berusia 19 tahun itu bergandingan bersama Thawatchai Himaiad, Chayut Khongprasit dan Soraoat Dapbang untuk mencatat rekod baharu Sukan SEA dengan masa 38.28 saat (s).
Malaysia terpaksa berpuas hati dengan perak selepas menamatkan perlumbaan dalam masa 39.03s, manakala Indonesia membawa pulang gangsa dengan catatan 39.51s.
Kejayaan tersebut melengkapkan kejayaan cemerlang Puripol yang sebelum ini menjuarai 100m dan 200m, mengulangi pencapaian sama dilakukannya pada edisi Hanoi 2021.
“Saya sangat bangga dengan diri sendiri dan gembira kerana dapat kembali dengan rekod baharu. Saya rasa ini benar-benar kebangkitan saya,” kata Puripol.
Soraoat yang beraksi sebagai pelari terakhir mengakui kemenangan itu amat bermakna selepas pulih daripada kecederaan panjang.
“Saya sangat gembira kerana kali ini kami berjaya mendapatkan kembali gelaran. Selepas enam bulan tidak bertanding akibat kecederaan, emas ini benar-benar bermakna,” katanya.
Beberapa minit kemudian, kem Thailand terus bersorak apabila skuad wanita 4x100m mereka turut menyumbang emas selepas mencatat 43.88s, menewaskan Vietnam dan Filipina dalam saingan sengit di garisan penamat.
Dengan kemenangan kedua-dua acara berganti lelaki dan wanita, Thailand menutup saingan olahraga dengan penuh bergaya, membuktikan kebangkitan generasi baharu pecut negara itu di pentas Asia Tenggara. – AGENSI














