fbpx
Perdana Menteri ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. FOTO JAPEN

Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dibentang tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun depan bagi menutup sebarang kelompongan undang-undang yang boleh disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan itu bertujuan memperjelas perbezaan antara pemberi maklumat tulen dengan penjenayah atau perasuah yang cuba berselindung di sebalik perlindungan undang-undang berkenaan bagi mengelak tindakan undang-undang.

“Perlindungan kepada pemberi maklumat tidak boleh diberikan secara membuta tuli sehingga menyebabkan penjenayah atau perasuah tegar diangkat sebagai ‘wira’ hanya kerana membuat pendedahan selepas melakukan kesalahan serius.

“Pemberi maklumat perlu dibezakan dengan jelas daripada penyamun atau perasuah tegar yang cuba bersembunyi atas nama whistleblower. Ini dua perkara yang mesti dibezakan dengan jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Amir Md. Ghazali pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pindaan tersebut penting bagi memastikan usaha memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan dengan berkesan, termasuk dalam agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, kerajaan komited memastikan undang-undang terus melindungi individu yang tampil secara jujur mendedahkan salah laku, pada masa sama tidak membuka ruang kepada penyalahgunaan yang boleh menjejaskan keadilan dan kredibiliti sistem perundangan negara.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI