SHAH ALAM – Taktik licik tiga warga Vietnam memalsukan cap pasport dengan berselindung sebagai penjual kek terbongkar selepas rumah sewa teres dua tingkat didiami mereka di Taman Sri Andalas, Klang dekat sini diserbu semalam.
Ketiga-tiga suspek termasuk seorang lelaki yang juga dalang sindiket berusia 26 dan 40 tahun itu diberkas menerusi Ops Serkap pada pukul 4 petang.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, siasatan mendapati mereka mengaut keuntungan mudah sebanyak RM400 bagi satu cap palsu tersebut dengan pelanggan terdiri daripada rakan senegara mereka.
Katanya, antara cap palsu dikesan dari pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru.
“Kumpulan suspek ini hanya melakukan cap pas lawatan sosial bagi menunjukkan pemiliknya merupakan pelancong yang memasuki negara melalui Singapura.
“Mereka juga akan mencuci cap lama yang asli menggunakan peluntur sebelum meletakkan cap baharu daripada dikesan tinggal lebih masa dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JIM Selangor hari ini.
Menurut beliau, modus operandi mereka menggunakan aplikasi p-hailing selepas bayaran dibuat oleh pelanggan mereka. Pekarangan rumah mereka pula ‘dihiasi’ dengan dapur membuat kek bagi mengaburi aktiviti mereka dikesan jiran tertangga.
“Sepanjang risikan selama dua minggu, kita menyamar sebagai penghantar barangan dengan datang ke rumah suspek untuk mengambil barangan berisi pasport yang menggunakan cap palsu.
“Rumah itu dipercayai disewa sejak dua tahun lalu dan kita masih menyiasat sejak bila kegiatan itu aktif,” ujarnya.
Pihak berkuasa merampas pelbagai barangan seperti 10 pasport dari Vietnam, dua cap keluar dan masuk, sebuah kereta Subaru XV, wang RM2,150 dan peralatan seperti bahan peluntur dengan nilai keseluruhan RM50,000.
Jelasnya, pihaknya percaya tiga suspek itu mula berjinak dalam kegiatan itu selepas memalsukan dokumen sendiri setelah tamat tempoh sebelum memperluaskan perkhidmatan itu kepada warga asing lain.
“Mereka direman selama dua minggu di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih dan kes disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) dan 12(1)(f) Akta Pasport 1966,” katanya. – KOSMO! ONLINE














