PETALING JAYA – Marine & General Berhad (M&G) mencatat hasil sebanyak RM98.3 juta naik 5.7 peratus bagi suku kedua berakhir 31 Oktober 2025 (Q2 FY2026) berbanding RM93.1 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, peningkatan hasil ini didorong terutamanya oleh penggunaan armada yang lebih baik merentasi kedua-dua bahagian huluan dan hiiran.
Kumpulan juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM15.4 juta yang mana ia adalah 16 peratus lebih rendah berbanding RM18.3 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.
“Ini disebabkan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, khususnya kos pembaikan dan penyelenggaraan dalam bahagian huluan,” katanya.
Bagi tempoh kumulatif enam bulan, Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM197.8 juta, peningkatan 7.3 peratus daripada RM184.3 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Ini disokong oleh penggunaan armada yang lebih kukuh serta kadar sewaan yang lebih tinggi dalam bahagian huluan.
Secara kumulatif, Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM38.7 juta, peningkatan kira-kira 8.1 peratus daripada RM35.8 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan keuntungan ini didorong oleh penggunaan kapal yang lebih kukuh serta kadar sewaan yang lebih tinggi berbanding tempoh yang sama, walaupun keuntungan sebahagiannya diimbangi oleh kos pembaikan kapal yang lebih tinggi dan kos sewaan kapal pihak ketiga.
Mengulas mengenai prospek tahun semasa, kenyataan itu menerangkan, bagi bahagian huluan, permintaan kapal dijangka kekal, disokong oleh tahap aktiviti minyak dan gas yang berterusan di Malaysia.
“Fokus berterusan Petronas untuk mengekalkan pengeluaran negara serta kontrak penerokaan baharu terus menyokong prospek pasaran OSV domestik.
“Kumpulan akan terus mengoptimumkan penempatan armada dan mengurus kos dengan teliti untuk kekal berdaya saing, terutamanya dengan peningkatan kos operasi dan keperluan ESG yang lebih ketat,” ujarnya.
Selain itu, bagi bahagian hiliran, operasi dijangka kekal stabil, disokong oleh permintaan berterusan untuk kapal tangki berdaftar Malaysia.
Rasionalisasi armada yang dilakukan sebelum ini telah meletakkan bahagian ini pada kedudukan operasi yang lebih kukuh, dan peluang pengoptimuman lanjut akan dipertimbangkan berdasarkan keadaan pasaran.
“Kumpulan akan terus mengutamakan disiplin kos, perancangan penyelenggaraan kapal dan kecekapan operasi untuk mengurangkan tekanan margin,” terangnya.
Selain itu, bahagianpPerkhidmatan kejuruteraan yang baru ditubuhkan melalui M&G WHS Engineering Sdn. Bhd. dijangka memulakan operasi dalam tahun kewangan semasa dan menyumbang secara positif kepada Kumpulan dari semasa ke semasa.
Walaupun risiko ekonomi dan geopolitik global kekal, Kumpulan akan memberi tumpuan kepada kecekapan operasi dan pengoptimuman armada untuk mengekalkan daya tahan.
Kumpulan mengekalkan prospek neutral bagi tahun kewangan semasa, berpandukan perkembangan pasaran dan keadaan ekonomi. -KOSMO! ONLINE














