SEREMBAN – Seorang juruwang wanita dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuannya yang berusia 11 tahun sehingga mendatangkan kecederaan fizikal di kepala dan lengan pada Oktober lalu.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Fatin Nur Diana Zakaria, 31, selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan serta pembelaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan hari ini dan tertuduh turut diperintah menjalani program khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas bebas dari penjara.
Tertuduh juga perlu menyempurnakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM1,000 dengan seorang penjamin, jika gagal bayar cagaran, tertuduh boleh dipenjara dua bulan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun telah menganiaya mangsa sehingga mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan lengan kanan.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 5.30 pagi di sebuah rumah pangsa dekat Lobak, di sini pada 29 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE














