fbpx
PERSIDANGAN CCS 2025 menjadi platform dialog serantau dengan disertai 1,600 peserta.

CCS 2025 pacu hala tuju inovasi rantau ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIDANG kemuncak Perbincangan Cyberjaya (CCS) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi medan perbincangan bagi menetapkan hala tuju sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam negara-negara ASEAN.

Persidangan tersebut menjadi platform strategik menghimpunkan pemimpin kerajaan, pemain industri, barisan akademi dan organisasi serantau, sekali gus menjadi cerminan kepada pendekatan bersepadu yang selaras dengan kerangka Malaysia Madani.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kerajaan-Industri Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), Ts. Rushdi Abdul Rahim berkata, Malaysia sebagai peneraju dalam pembangunan Pelan Tindakan Induk ASEAN bagi Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI) 2026-2035 mengambil pendekatan pragmatik dengan memberi perhatian kepada negara kecil dan komuniti luar bandar.

“Melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia, perspektif ini diterapkan sejak peringkat perancangan dasar bagi memastikan pelaksanaan yang seimbang dan inklusif.

“Pendekatan ini turut didukung oleh kerangka Malaysia Madani yang menekankan kerjasama merentas sektor melibatkan kerajaan, industri, masyarakat sivil dan komuniti akar umbi ( whole-of-nation),” katanya dalam ucapan persidangan CCS 2025 baru-baru ini.

Antara hasil perbincangan yang mencuri tumpuan ialah cadangan Malaysia-Indonesia Grand Challenge iaitu sebuah projek rintis yang menghimpunkan kepakaran akademik, keupayaan industri dan sokongan dasar kerajaan untuk menangani cabaran serantau berasaskan penciptaan bersama.

“Gabungan kepakaran ahli akademik, keupayaan industri dan sokongan dasar kerajaan dilihat mampu membantu kedua-dua negara menangani cabaran bersama termasuk keselamatan makanan, tenaga bersih, perubahan iklim dan pembangunan teknologi baharu.

“Inisiatif ini turut membuka peluang untuk diperluaskan ke peringkat ASEAN melalui konsep ASEAN Grand Challenge, sekali gus mempercepat penyelidikan bersama dan pemindahan inovasi ke pasaran,” katanya.

MASALAH jerebu rentas sempadan menjadi antara perkara dibangkitkan dalam CSS 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama rentas sempadan semakin diberi perhatian dalam usaha ASEAN menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030. Perkongsian data, penyelidikan bersama dan program pembangunan kapasiti menjadi bahan bakar utama peralihan rantau ini ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan. Kepentingan diplomasi sains dalam menghadapi cabaran global memicu semangat Malaysia untuk meneruskan peranan aktif dalam memperjuangkan kepentingan negara membangun terutama berkaitan isu perubahan iklim, jerebu rentas sempadan, penebangan hutan, kepupusan biodiversiti serta kemajuan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan unsur nadir bumi (REE).

“Pembangunan aplikasi data satelit untuk pertanian pintar, pengurusan bencana dan telekomunikasi luar bandar serta pembuatan komponen satelit menawarkan potensi besar dalam rantaian nilai global.

“MIGHT juga telah menerbitkan Navigating Malaysia’s Space Frontier 2024/2025 sebagai panduan hala tuju industri angkasa negara dan menubuhkan Konsortium Industri Angkasa Malaysia (MASIC) untuk memperkukuh kolaborasi industri dengan sokongan teknikal Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

“Walaupun pembangunan infrastruktur dan bakat menunjukkan kemajuan, perbezaan dasar antara negara anggota kekal sebagai cabaran utama yang memerlukan komitmen kolektif ASEAN untuk ditangani,” ujarnya.

Bagi memperhebat konsep ASEAN Grand Challenge, sektor swasta juga perlu memainkan peranan sebagai penggerak inovasi serantau melalui platform Technomart Malaysia yang menghimpunkan syarikat teknologi, syarikat pemula, pelabur dan universiti.

Program kerjasama seperti Technomart Malaysia dan Scotland, Kolaborasi Teknologi Angkasa Malaysia dan Kolaborasi Teknologi Malaysia dengan Turkiye telah membuka ruang padanan teknologi dan perniagaan, pembentangan projek dan kerjasama strategik berimpak tinggi.

“Secara keseluruhan CCS 2025 membuktikan potensinya sebagai platform dialog serantau yang berterusan dengan penyertaan 1,600 peserta.

“Ini sekali gus, mengukuhkan peranan Malaysia dalam membentuk masa depan STI serantau yang inklusif, mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Turut hadir di persidangan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn dan Menteri MOSTI, Chang Lih Kang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN