KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membongkarkan taktik sindiket penyeludupan minuman keras yang diisytihar sebagai perencah salad dan bangku, baru-baru ini.
Operasi pada 14 Oktober hingga 4 November lalu dilakukan ke atas sebuah kedai bebas cukai (KBC), gudang di Zon Bebas Pelabuhan Utara dan kedai runcit di Shah Alam.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, menerusi operasi itu, pihaknya berjaya merampas 4,887.51 liter minuman keras pelbagai jenis bernilai RM807,646 termasuk duti cukai.
Menurutnya, siasatan mendapati salah sebuah kedai KBC telah tamat tempoh lesen.
“Malah pemeriksaan mendapati 16 palet berkotak kayu di Zon Bebas Pelabuhan Utara tidak mempunyai permit import. Dagangan itu diisytiharkan sebagai perasa salad dan bangku,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menahan seorang penjaga kedai runcit menjual minuman keras tanpa permit import.
Dalam pada itu, Mohamad Azhar berkata, sejumlah 28.81 juta batang rokok dirampas dengan 10 juta daripadanya diikrarkan sebagai pakaian.
“Rampasan itu melibatkan pemeriksaan ke atas tiga buah kontena ‘transhipment’ di Zon Bebas Pelabuhan Barat pada 29 Oktober hingga 4 November lalu. Nilai keseluruhan rokok termasuk cukai adalah RM23.5 juta,” katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 133(1)(a) dan 135(1)(a) dan (d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE














