KUALA TERENGGANU – Niat seorang wanita untuk mencari pendapatan tambahan menerusi kerja sambilan berkecai malah dia pula yang kerugian RM67,789 akibat diperdaya sindiket kerja tidak wujud.
Tambah parah sebahagian kerugian tersebut merupakan wang yang dipinjam penolong arkitek landskap berusia 20 tahun berkenaan dengan rakan-rakannya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita terbabit tertarik dengan iklan tawaran kerja sambilan yang dilihatnya menerusi laman Instagram pada Jumaat lalu.
“Mangsa telah menekan pautan diberikan sebelum dihubungi individu mendakwa kononnya wakil sebuah syarikat fesyen terkenal.
“Dia kemudiannya diminta mengisi butir peribadi sebelum disambungkan kepada suspek lain menerusi aplikasi Telegram,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, penolong artikek landskap itu kemudiannya diberi akses ke dalam sebuah laman web setelah membayar yuran pendaftaran RM10.
Beliau berkata, wanita tersebut telah dijanjikan kononnya komisyen lumayan sekiranya melakukan tugasan membeli barang menerusi laman web berkenaan.
“Mangsa telah melakukan 16 tugasan dengan membuat 11 pembayaran keseluruhan RM67,789 menerusi lima akaun bank berasingan antara Jumaat hingga semalam.
“Begitupun dia cuma memperolehi komisyen masing-masing RM50 dan RM280 bagi dua tugasan awal sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE














