fbpx
Shazeli ketika sidang akhbar mengenai peguam diugut di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor hari ini. Foto Saddam Yusoff

Polis tunggu maklum balas MCMC kes ugutan terhadap peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Polis sedang menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu mengenal pasti individu yang dipercayai memuat naik ugutan terhadap seorang peguam di media sosial berkaitan kes tembakan di Melaka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, beberapa keterangan telah diambil daripada peguam dan beberapa individu lain bagi membantu siasatan itu.

Katanya, polis menerima laporan daripada peguam berkenaan pada 5 Disember lalu selepas pengadu membaca salah satu komen dalam hantaran di aplikasi Facebook.

“Kita telah memohon bantuan MCMC untuk mendapatkan profil individu yang membuat komen (ugutan) terbabit dan masih menunggu maklum balas mengenainya. Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, siasatan dijalankan selepas komen tersebut
dipercayai mempunyai kaitan dengan satu kes yang sedang dikendalikan oleh peguam berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, ketiga-tiga suspek dikenali Geng DT ditembak mati selepas menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, 24 November lalu.

Siasatan mendapati suspek utama berusia 29 tahun memiliki 39 rekod lampau jenayah dan dadah selain turut dikehendaki polis, manakala seorang lagi mempunyai 12 rekod jenayah dan dadah.

Kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan jenayah samun bersenjata di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1.35 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI