PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang memperkenalkan langkah ‘Peruntukan Deeming’ bagi meningkatkan keselamatan digital dalam sektor pendidikan.
KPM dalam kenyataan berkata, menerusi inisiatif tersebut, keselamatan murid dan warga pendidikan daripada ancaman siber seperti eksploitasi seksual dan penipuan platform digital dapat ditingkatkan.
“Kerjasama dengan MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan diperluas bagi memastikan aspek keselamatan digital dalam kalangan murid terus diperkasa,” ujarnya.
Langkah tersebut juga seiring usaha kerajaan untuk meningkatkan literasi digital dan melindungi pengguna internet terutamanya warga sekolah daripada kandungan yang tidak selamat.
Terdahulu, MCMC memaklumkan bahawa melalui Peruntukan Deeming, mana-mana pihak boleh dianggap berdaftar di bawah lesen kelas hanya dengan perisytiharan menteri tanpa perlu memohon secara rasmi, sekali gus tertakluk kepada semua peraturan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998). – KOSMO! ONLINE.














