PETALING JAYA – Biarpun nama G. Shanti tidak lagi memegang rekod individu 100 meter (m) dan 200m kebangsaan tetapi sumbangannya terhadap arena sukan olahraga tanah air tetap dihargai.
Bekas ratu pecut negara ini diberikan pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Piala Sukan Akademi VBS 2025 inisiatif tanggungjawab sosial korporat daripada Akademi Visioon Business Solutions Sdn. Bhd. (VBS) dan Sheila Hussain Vijay & Partners (SHVP).
Menariknya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyampaikan sendiri anugerah berkenaan kepada Shanti yang menjadi penerima wanita pertama daripada empat pemenang sebelum ini dalam satu majlis diadakan di Shah Alam baru-baru ini.
“Saya rasa bangga kerana dipanggil untuk menerima anugerah ini. Sememangnya saya rasa sangat bertuah, lebih-lebih lagi menjadi penerima wanita yang pertama untuk anugerah ini.
“Saya tak pentingkan jumlah sumbangan tetapi sangat terharu dengan penghargaan diberikan ini. Sebab saya sudah lama bersara daripada dunia sukan dan sebenarnya ramai lagi legenda-legenda lain boleh terima pengiktirafan seperti ini pada masa depan,” kata Shanti.
Penghormatan pada Majlis Makan Malam Tahunan Ke-8 dan Hari Penganugerahan CCO Ke-5 itu pastinya membakar semangat Shanti menjalankan tanggungjawab sebagai penolong pengurus skuad olahraga kebangsaan yang kini sedang bersaing di Sukan SEA Thailand 2025.
Turut hadir menyerikan majlis penganugerahan yang dicetuskan oleh Pengarah Akademi VBS, Datuk Dr. Vijayaray R. Kanniah adalah Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia yang merupakan Presiden Persekutuan Karate Malaysia, Datuk Wira Dr. Nur Azmi Ahmad.
Ini adalah kali kelima bekas atlet kebangsaan diraikan dengan penerima terdahulu seperti Muhammad Dhaarma Raj Abdullah (2019), Paul Lopez (2022), Iman Gobinathan (2023) dan A. Jayakanthan tahun lalu.
“Tiga kriteria ditetapkan untuk anugerah ini mestilah atlet pernah berkhidmat dalam industri kewangan, menyumbang kepada perkembangan sukan peringkat negeri dan negara serta pencapaian cemerlang dengan rekod yang baik.
“Jadi kami meneruskan inisiatif ini untuk menghargai bekas atlet kebangsaan dan kali ini G. Shanti dipilih sebagai penerima anugerah sukan ini buat kali kelima,” kata Vijayaraj yang juga rakan kongsi SHVP.
Pada majlis berkenaan juga menyaksikan lima anugerah kecemerlangan diberikan kepada pelajar terbaik Akademi VBS seperti Nasibah Mustapha Kamal dari MBSB Bank Berhad (sektor perbankan) dan Donna Yasmin Mohamad Bakri dari SME Bank Berhad (sektor pembangunan perbankan).
Baki tiga lagi penerima anugerah seperti Chan Chee Hume dari Labuan Insurance Management Services Limited (sektor insurans), Chin Fung Kuin dari AMAX Trust & Advisory Limited (sektor amanah) dan K. Kuganeshvaran Pillai dari Wise Payments Malaysia Sdn. Bhd. (sektor perniagaan perkhidmatan wang). – KOSMO! ONLINE














