fbpx
KOMUNITI perlu memainkan peranan dalam memastikan golongan remaja tidak terpengaruh unsur negatif game. – GAMBAR HIASAN

Empat strategi kawal tingkah laku remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Lambakan permainan video yang memaparkan unsur jenayah, keganasan dan elemen tidak bermoral semakin meresahkan masyarakat apabila ia dilihat mampu mempengaruhi minda serta tingkah laku remaja.

Felo Penyelidik Media and Game Innovation Centre of Excellence, Universiti Teknologi Ma­laysia, Prof. Madya Ts. Dr. Far­han Muhamed berkata, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana semakin banyak permai­nan interaktif kini dibina dengan konsep ‘open world’ yang memberi kebebasan ekstrem kepada pemain termasuk merompak, mengedar dadah, menembak dan melakukan vandalisme.

Katanya, untuk mengekang pengaruh negatif itu, negara memerlukan pendekatan lebih menyeluruh melibatkan semua pihak kerana lambakan aplikasi dan permainan video baharu muncul setiap hari tanpa henti.

Beliau menyarankan empat strategi utama dalam usaha memerangi trend game berunsur jenayah.

“Pertama, kerajaan perlu memperketat kawal selia industri permainan digital dengan mewujudkan garis panduan lebih ketat, termasuk pengelasan umur yang lebih tegas serta penapisan kandungan yang merosakkan.

“Pihak berkuasa juga terutamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) disaran bekerjasama dengan platform seperti Google Play dan Apple App Store untuk menyekat game berunsur jenayah daripada dipromosi secara terbuka,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Farhan berkata, MCMC turut digesa memperluaskan sistem pemantauan automatik dan penguat­kuasaan terhadap aplikasi berisiko tinggi.

Menurutnya, akta baharu se­perti Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) boleh dijadikan ‘pagar digital’ bagi menahan ­aplikasi yang mengandungi unsur jenayah daripada menular ke peranti pengguna tempatan.

“Kalau kita boleh sekat laman berbahaya sebelum ini, tidak mustahil game berunsur jenayah juga boleh ditapis lebih awal,” katanya.

Ketiga, ibu bapa memainkan peranan paling dekat dengan anak-anak bagi memastikan ada pemantauan peranti, pemasa­ngan ‘parental control’ dan had penggunaan skrin perlu dijadikan amalan wajib.

Beliau mencadangkan penggunaan aplikasi seperti Google Family Link, Screen Time dan Samsung Kids untuk mengawal akses permainan yang tidak sesuai.

“Anak-anak ini generasi digital. Mereka laju, tetapi mereka tetap perlukan bimbingan. Tanpa kawalan, dunia maya boleh menjadi perangkap,” ujarnya.

Farhan berkata, langkah keempat, institusi pendidikan, masyarakat dan kaunselor perlu menjalankan kempen kesedaran secara berterusan mengenai bahaya normalisasi jenayah dalam kandungan hiburan digital.

Program pendidikan siber di sekolah patut menekankan kesan psikologi dan jenayah yang boleh timbul akibat ketagihan game berbahaya.

Beliau menambah, lambakan game berunsur jenayah tidak akan berhenti jika masyarakat terus menganggapnya sekadar hiburan.

“Kita kena bergerak sekarang. Jangan tunggu remaja kita belajar jenayah melalui butang permainan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN