SAUDARA PENGARANG,
Baru-baru ini anak saya kehilangan MyKad. Puas dicari tetapi tidak berjumpa. Kami akhirnya membuat laporan polis pada hari sama kerana keesokannya anak saya mahu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Memandangkan ia hari Ahad, maka saya bertanya dengan ramai rakan dan sumber adakah boleh laporan polis dijadikan pengganti kepada MyKad. Pelbagai jawapan yang saya dapat, namun ia tidak meyakinkan.
Bagaimana jika penjaga peperiksaan tidak bagi anak saya mendudukinya? Pelbagai persoalan timbul sehinggalah saya dimaklumkan supaya membuat MyKad baharu di Pusat Transformasi Bandar (UTC).
UTC paling dekat dan buka pada Ahad ialah Ampangan, Seremban. Maka bergegas kami ke sana. Apabila sampai, saya lega kerana kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih buka dan petugas memaklumkan MyKad boleh siap dalam tempoh 30 minit.
Syukur tidak terkata. Walaupun perlu membayar RM100 kerana hilang buat pertama kali, kami menerimanya ekoran ia berlaku atas kecuaian sendiri.
Ketika itu saya terfikir UTC ini cukup penting buat mereka yang mahu mendapatkan khidmat pada hari cuti. Ketika saya ke sana, saya dapati begitu ramai orang yang mahu berurusan terumatanya di JPN dan imigresen.
Mohon kerajaan teruskan apa yang bermanfaat buat rakyat dan jangan sesekali cuba menutupnya. UTC walaupun diasaskan ketika zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak, namun ia relevan sehingga ke hari ini.
Rakyat marhaen,
Sepang, Selangor














