BESUT – Penemuan seorang bayi lelaki yang dipercayai dibuang di belakang sebuah rumah di Kampung Raja di sini semalam membongkar perbuatan sumbang mahram antara kakak dan adik kandung bawah umur.
Bayi yang masih hidup tersebut ditemui salah seorang penghuni rumah terbabit pada pukul 2.54 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md. Sani Md. Saleh berkata, bayi tersebut kemudiannya diselamarkan sebelum dibawa ke Hospital Besut di sini untuk menerima rawatan.
“Siasatan kemudiannya menahan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang disyaki melahirkan bayi terbabit. Adik lelaki suspek berusia 14 tahun kemudiannya turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Md. Sani berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada perbuatan sumbang mahram.
Beliau berkata, bayi lelaki berkenaan tersebut dipercayai dibuang sebaik dilahirkan.
“Suspek lelaki telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376B akta sama.
“Remaja perempuan terbabit pula kini sedang mendapatkan rawatan di hospital,” katanya. – KOSMO! ONLINE














