SYDNEY – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh selepas dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan di Pantai Bondi, Sydney semalam, lapor agensi berita United Press International.
Polis negeri New South Wales(NSW) berkata, salah seorang penembak berkenaan adalah antara mereka yang disahkan terbunuh.
Menurutnya, penyerang kedua berada dalam keadaan kritikal.
Seramai 11 orang lagi dilaporkan cedera termasuk dua anggota polis, kata pihak berkuasa.
Keadaan mereka bagaimanapun tidak diketahui.
Polis berkata, perkhidmatan kecemasan dihubungi sekitar pukul 6.45 petang (waktu tempatan), manakala penduduk dinasihatkan untuk segera berlindung selepas kejadian.
Semasa siasatan diteruskan, polis berkata, beberapa objek mencurigakan ditemukan berdekatan lokasi kejadian.
Penemuan itu mendorong tindakan daripada skuad pemusnah bom, walaupun tiada insiden lain di Sydney dilaporkan berkaitan kejadian tembakan itu.
Pesuruhjaya Polis NSW, Mal Lanyon berkata, insiden tembakan itu diisytiharkan sebagai serangan pengganas.
Beliau menjelaskan, polis sedang menyiasat sama ada orang ketiga terlibat dalam kejadian tembakan itu.
Ketua Menteri NSW, Chris Minns berkata pada sidang akhbar bahawa serangan itu ‘dilakukan untuk menyasarkan komuniti Yahudi Sydney pada hari pertama sambutan perayaan Hanukkah.’
Perdana Menteri Anthony Albanese mendedahkan dalam mesej video bahawa kejadian tembakan itu berlaku semasa sambutan Hanukkah di tepi laut yang dihoskan oleh pertubuhan Yahudi, Chabad of Bondi.
“Serangan terhadap warga Yahudi Australia adalah serangan terhadap setiap warga Australia,” kata Albanese.
“Tiada tempat untuk kebencian dan keganasan ini di negara kita,” tambahnya. – AGENSI














