KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan menambah 10 lagi lokasi pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) pada tahun hadapan.
Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pemilihan lokasi dibuat berdasarkan data kemalangan berisiko tinggi, khususnya di laluan yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku nahas.
Beliau berkata, pemasangan kamera Awas bukan bertujuan memerangkap pemandu, sebaliknya untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.
“Pemilihan lokasi ini bukan dibuat untuk memerangkap pemandu. Tetapi, keutamaan kerajaan adalah untuk aspek keselamatan dan kawasan yang dipilih merupakan lokasi berisiko tinggi serta sering berlaku kemalangan termasuk kawasan black spot,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk C. Sivaraj yang bertanyakan tentang sistem Awas dan hasil kutipan saman disalurkan. – KOSMO! ONLINE














