PETALING JAYA– Kumpulan sensasi K-pop, Seventeen, kembali menggegarkan Malaysia apabila membuat kemunculan kali kedua di negara ini hari ini selepas kunjungan pertama mereka pada Februari 2019.
Kehadiran 13 anggota kumpulan itu di Pavilion Kuala Lumpur mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat tempatan yang sanggup datang seawal pagi bagi mendapatkan tempat terbaik.
Difahamkan kehadiran kumpulan sensasi itu adalah jemputan dari satu jenama makanan terkenal tempatan.
Berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial, peminat dilihat sudah mula memenuhi ruang sekitar pusat beli-belah ikonik itu seawal pukul 10 pagi.
Malah ada yang ‘cop’ tempat lebih awal demi melihat idola kesayangan mereka dari jarak dekat.
Suasana di Pavilion KL bertukar meriah dengan lautan peminat atau dikenali sebagai Carat, yang tidak henti-henti melaungkan nama Seventeen serta membawa sepanduk dan barangan sokongan kumpulan tersebut.
Rakaman video yang dikongsi di TikTok, X dan Instagram turut memaparkan kawalan keselamatan dipertingkatkan bagi mengawal keadaan dan memastikan kelancaran acara.
Fenomena itu turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial tempatan.
Seorang netizen menulis, “Pukul 10 pagi dah penuh, ini baru Malaysia. Memang luar biasa aura Seventeen.”
“Tunggu sejak 2019, akhirnya jumpa lagi. Berbaloi datang awal dan berdiri lama,” ujar Farah Nadia.
Kepulangan semula Seventeen ke Malaysia selepas hampir enam tahun nyata membuktikan pengaruh besar kumpulan itu di negara ini apabila kehadiran mereka sekali lagi berjaya mencetuskan fenomena dan perbualan hangat dalam kalangan peminat.– KOSMO! ONLINE
@jeonwo06 joshua, dokyeom, and dino in kuala lumpur for mister potato! #joshua #dokyeom #dino #seventeen #fyp ♬ suara asli – jeon✨














