PETALING JAYA – Anak sulung kepada pasangan Norahimah Noor Muhammad dan Amir Ruddin Ismail yang maut dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, pada 1 September 2023 iaitu Abdul Rahman Amir Ruddin, 21, kini sah bergelar suami kepada wanita pilihannya, Wahidatul Imtiyazzah.
Majlis pernikahan yang berlangsung semalam dikongsikan Abdul Rahman menerusi beberapa keping gambar dimuat naik di media sosialnya hari ini.
Katanya, dia menyerahkan seutas gelang tangan emas sebagai mas kahwin buat isteri tercinta.
“Aku sedar, cinta bukan sekadar perasaan, tetapi amanah yang harus dijaga dengan sabar, pengertian dan ketulusan. Aku berjanji untuk menjadi temanmu ketika susah dan senang, menjadi pelindung hatimu ketika dunia terasa berat dan menjadi peneduh jiwa di setiap langkahmu.
“Semoga Allah mempermudah setiap perjalanan kita, memberkati setiap doa dan usaha kita dan menjadikan rumah tangga kita sebagai tempat yang penuh rahmat, damai dan cinta yang terus tumbuh sepanjang hayat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan ibu bapa Abdul Rahman maut bersama empat lagi adiknya iaitu Fatimahtulzahrah, Seri Khadijah Aqilah, Rufaidatul Asyariyah dan Muhammad Assyakrawi selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan pasir.
Bagaimanapun, adik ketiganya, Abdullah, 17 terselamat dalam kejadian terbabit dan mengalami kecederaan parah ketika itu.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah dilaporkan berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah lori membawa muatan pasir hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
Beliau berkata, kemalangan berlaku kira-kira 6.37 petang itu membabitkan lima kenderaan, iaitu sebuah Honda HRV, Proton Wira, Perodua Alza dan Perodua Bezza, selain lori membawa muatan pasir berhampiran Loji Petronas.
Sementara itu, perkongsian Abdul Rahman turut menarik perhatian ramai yang mengikuti perkembangan dua beradik tersebut dan rata-ratanya mendoakan agar perkahwinan dibina kekal hingga jannah.
“Tahniah Rahman dan isteri. Semoga bahagia dunia akhirat,” kata Hazamin.
“Tahniah Rahman dan isteri, semoga Allah kurniakan kebahagiaan kepada kalian berdua. Insya-Allah terubat sedikit kesunyian yang hilang. Allah pasti gantikan yang baik buat keluarga kecil kalian,” kata Mizzalin. – KOSMO! ONLINE














