KUALA NERUS – Seramai enam kru warga Thailand yang dalam perjalanan ke Singapura cemas apabila bot tunda yang dinaiki mengalami kerosakan sebelum dilambung ombak besar di perairan Batu Rakit hari ini.
Bot yang mula mengalami kerosakan pada pukul 1 tengah hari itu seterusnya dihanyutkan arus hingga menghampiri tapak pembinaan pemecah ombak Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kerosakan berlaku selepas lima hari bot tunda tersebut bertolak dari Songkhla, Thailand.
“Kelibat bot tunda rosak yang hanyut sehingga ke tapak pembinaan pemecah ombak Kampung Tanjung dilihat penduduk kampung pada pukul 4.30 petang tadi.
“Tiga kru berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan penduduk, manakala tiga lagi masih terperangkap dalam bot tersebut,” katanya.
Azli berkata, gerakan menyelamat baki kru bot terbabit sedang giat dilakukan pasukan bomba. Oprasi menyelamat berdepan cabaran ekoran keadaan laut bergelora dan ombak besar. – KOSMO! ONLINE














