fbpx
Mohamad ketika menyaksikan proses penyembelihan lembu dengan menggunakan teknologi moden hari ini.

Teknologi moden pacu lonjakan pengeluaran daging negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penggunaan teknologi moden dalam industri daging dilihat mampu meningkatkan pengeluaran secara ketara sekali gus menjamin bekalan yang lebih stabil kepada pengguna, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, industri daging tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kaedah tradisional, sebaliknya perlu bergerak seiring kemajuan teknologi bagi meningkatkan kecekapan operasi tanpa menjejaskan pematuhan syariah dan kebajikan haiwan.

Menurutnya, penggunaan sistem penyembelihan moden membolehkan proses dilakukan dengan lebih tersusun, selamat dan pantas, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran di sesebuah fasiliti.

“Dengan teknologi yang sesuai dan patuh syariah, sebuah fasiliti mampu menyembelih sekitar 18 hingga 20 ekor lembu sejam.

“Ini satu peningkatan besar berbanding kaedah konvensional dan memberi kesan langsung kepada jumlah hasil daging yang dapat dikeluarkan,” katanya di media sosial.

Mohamad berkata, kecekapan proses tersebut membolehkan kos operasi dikawal dengan lebih baik, selain mempercepatkan rantaian bekalan daripada ladang ke pasaran.

“Kos yang lebih terkawal dan bekalan yang lebih pantas akhirnya memberi manfaat kepada semua pihak termasuk penternak dan pengguna.

“Pada masa sama, aspek halal, kebersihan serta keselamatan makanan tetap menjadi keutamaan,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa penerapan teknologi bukan bertujuan mengetepikan nilai tradisi, sebaliknya untuk memperkukuh rantaian makanan negara agar lebih mampan dan berdaya saing dalam jangka panjang.

“Pertanian dan industri makanan hari ini mesti memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab.

“Insya-Allah, KPKM akan terus menyokong penggunaan teknologi yang mampu mempercepatkan pengeluaran serta memastikan bekalan daging negara mencukupi, selamat dan berkualiti,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN