BANGKOK – Perenang wanita negara, Phee Jinq En yang menjadikan Sukan SEA Thailand 2025 sebagai penampilan terakhir, menutup dengan kegembiraan apabila berjaya menjelmakan pingat perak 100 meter (m) kuak dada semalam.
Biarpun tidak menjelmakan emas seperti dilakukan tiga edisi berturut-turut di Singapura 2015, Kuala Lumpur 2017 dan Manila 2019, namun atlet berusia 28 tahun itu tetap berbangga masih mampu mencabar perenang muda sekali gus menuai pingat perak.
Jinq En menyifatkan kejayaan mengulangi pencapaian edisi Kemboja dua tahun lalu sebagai satu perjalanan yang cukup ‘gila’ dan luar biasa, malah mengakui turun ke gelanggang tanpa sebarang tekanan untuk memburu pingat emas semata-mata.
“Sepanjang 10 tahun mewakili Malaysia, ini satu-satunya perlumbaan pertama dan terakhir di mana saya tak memikirkan sama ada saya berenang dengan baik atau tidak, sebaliknya cuma tersenyum sepanjang saingan.
“Sejujurnya, saya tidak begitu yakin melangkah ke perlumbaan ini memandangkan ada begitu ramai perenang muda yang baik di belakang saya seperti Vietnam, Indonesia, Thailand. Jadi saya cuma cuba untuk berseronok sehabis mungkin.
“Saya tersenyum sepanjang perlumbaan terutama mengenali diri dan cara berlatih, saya tahu secara fizikal saya mampu melakukan catatan masa yang lebih baik.
“Saya tahu pingat emas agak sukar dicapai, jadi saya cuma menyasarkan untuk berada di podium tidak kira apa warnanya. Ini adalah perlumbaan yang benar-benar istimewa,” katanya.
Tugas Jinq En di Pusat Akuatik Huamark, Bangkok belum selesai sepenuhnya kerana dia bakal turun membantu kuartet negara dalam acara 4x100m rampaian berganti-ganti esok.
“Ramai yang salah sangka saya sudah bersara sepenuhnya hari ini (semalam). Saya ingin jelaskan ini adalah perlumbaan individu terakhir, namun saya masih ada misi acara berpasukan nanti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














