fbpx
Steven Sim hadir ke kediaman Uncle Ah Aik di George Town, hari ini.

Steven Sim bantu tuntutan Perkeso Uncle Ah Aik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkongsi kegembiraan di Facebook miliknya, hari ini apabila beliau berjaya merealisasikan impian seorang bapa dua anak untuk mendapatkan tuntutan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam ini berkata, lelaki yang dikenali sebagai Uncle Ah Aik, 53, terpaksa menerima hakikat apabila dia dipecat oleh majikan selepas terlibat kemalangan yang menyebabkan tulang lutut kirinya pecah dan kaki kiri patah.

“Saudara Ah Aik ialah seorang penjaga stor. Satu hari ketika menunggang motosikal balik ke rumah dari tempat kerja, dia kena `accident’ (kemalangan) sehingga tak boleh jalan. Sampai hari ini dia kena guna tongkat empat kaki, itupun setiap langkah cukup pedih sekali.

“Majikan dia mai (datang) melawat beberapa hari selepas kemalangan. Dia (majikan) hulur dua bulan gaji dan sekeping surat. Ah Aik tak reti membaca, dia ingat itu cuma bantuan.

“Mana tau, itu sebenarnya surat kena pecat. Oleh sebab pada awalnya Ah Aik tak masukkan dokumen lengkap, maka tuntutan Perkeso pun ditolak. Dahlah kena accident, kaki patah, kerja tak ada, Perkeso pun tak dapat,” katanya.

Tulis Steven lagi, sejak itu, Ah Aik menjadi semakin buntu memandangkan dua anaknya masih bersekolah manakala isterinya bekerja di kilang menjahit baju dengan pendapatan RM1,700 sebulan.

“Sebulan lalu, Ah Aik hubungi saya untuk minta bantuan. Dia tak bimbang dirinya sendiri walaupun kaki patah badan tak sihat, tapi dia sangat-sangat khuatir masa depan anak-anaknya.

“Saya berjanji untuk bantu dia lengkapkan segala permohonan dan kemudian buat rayuan kat Perkeso. Menteri sekalipun kena ikut prosedur dan undang-undang,” ujarnya.

Namun hari ini, Steven Sim berpeluang menziarahi rumah Ah Aik untuk membawa berita gembira.

“Rayuan tuntutan Perkeso sudah berjaya! Saya hulurkan cek RM9,100 kepada Ah Aik dan Perkeso akan uruskan faedah-faedah lain selepas ini. Walaupun putus gaji buat masa ini, tapi sekurang-kurangnya keluarganya kini tak putus makan.

“Saya beritahu Ah Aik, Perkeso juga akan bantu dia dari segi rawatan pemulihan dan bila masa dia sudah sembuh, MyFutureJobs akan bantu untuk mencari kerja lain.

Dalam pada itu, tambahnya, Rang Undang-Undang Lindung 24 Jam sudahpun diluluskan di Dewan Rakyat awal bulan ini dan akan dibentangkan di Dewan Negara pada 17 Disember nanti.

“Saya harap RUU ini dapat diluluskan dan dilaksanakan secepat mungkin, supaya ramai lagi pekerja dapat manfaatnya, seperti Ah Aik,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN