JEMPOL – Dua remaja perempuan maut, manakala seorang lagi parah apabila motosikal jenis Honda C100 yang mereka naiki terbabas di Jalan Taman Musytari, Batu Kikir, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.55 petang itu, penunggang motosikal iaitu seorang remaja perempuan, 13, bersama dua pembonceng berusia 10 dan 13 tahun dari arah Taman Mawar menuju ke Taman Musytari.
“Penunggang motosikal dapati gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kanan lalu melanggar sebatang pokok.
“Akibat daripada kemalangan ini, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala pembonceng yang berada di tengah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tangan.
“Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pembonceng yang duduk di bahagian belakang motosikal pula parah di bahagian kepala dan patah kedua-dua belah kaki,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Norhisham lagi, mayat mangsa telah di bawa ke Hospital Jempol bagi proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau
merbahayakan. – KOSMO! ONLINE














