PETALING JAYA – Golongan penternak disaran supaya melangkah ke arah pemprosesan dan pemasaran produk sendiri bagi memberi nilai tambah sekali gus dapat meningkatkan pendapatan.
Ini kerana kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, sekiranya mereka hanya menjual lembu hidup atau daging mentah saja, nilainya terhad.
“Tapi bila kita proses, bungkus, jenamakan dan pasarkan, harga naik, peluang kerja bertambah, dan pendapatan rakyat jadi lebih baik,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kementeriannya akan terus membantu dari segi teknologi, latihan, pensijilan dan akses pasaran supaya produk daging tempatan mampu bersaing di pasaran.
“Daripada lembu yang diternak, dagingnya diproses pula menjadi produk siap seperti burger, kepingan daging perap dan makanan sejuk beku.
“Inilah contoh bagaimana hasil ternakan boleh diangkat menjadi produk hiliran yang memberi pulangan lebih tinggi kepada penternak dan usahawan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














