PETALING JAYA – Pelakon Fasha Sandha mengakui tangisan anak bongsu, Aisha Amaira kerana enggan melepaskannya keluar bekerja meninggalkan kesan mendalam terhadap emosinya.
Menurut Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, 41, perkara tersebut mengejutkannya kerana pertama kali berlaku namun dia terpaksa kuatkan hati meninggalkan anak-anaknya demi memenuhi amanah sebagai pelakon.
“Sehingga hari ini, saya masih rasa berat hati sebab Aisha tidak pernah menangis seteruk itu.
“Ada juga babak dia berguling atas lantai kerana terlalu sedih sehingga enggan ke sekolah sebab mahu ikut saya. Dia terlalu emosi apabila saya terpaksa tinggalkannya.
“Selepas pulang ke rumah saya pujuk dia. Bila situasi begini berlaku, saya yang kena kuatkan hati dan mental,” katanya ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37), semalam.
Kongsi Fasha lagi, momen hiba tersebut membuatkan dia terfikir untuk memperlahankan kerjaya seni bagi meluangkan lebih masa bersama keluarga.
“Itulah yang membuatkan timbul secebis perasaan mahu tinggalkan dunia lakonan, fokus anak dan mungkin buat bisnes.
“Namun, seperti yang saya selalu katakan, lakonan sudah sebati dalam jiwa saya. Saya pula jenis yang tak suka duduk diam, jenis suka bekerja.
“Sebelum ini ada juga dua bulan tak berlakon, memang rasa sangat lain. Terus rasa rindu nak kembali ke set penggambaran,” ujarnya.
Fasha bagaimanapun menegaskan tidak pernah terlintas atau terbit rasa penyesalan bergelar anak seni meski perlu berkorban masa dengan keluarga.
“Nak kata saya menyesal ceburi dunia seni, memang tidak. Saya sayang kerjaya sebagai pelakon.
“Saya membesar dengan lakonan dan tak pernah rasa menyesal memilih jalan ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Fasha memuat naik video memaparkan Aisha menangis kerana perlu berpisah dengannya yang terpaksa kembali ke set penggambaran.
Perkara tersebut membuatkan dia terfikir ingin berhenti daripada dunia lakonan.
Aisha merupakan anak hasil perkahwinan Fasha bersama pelakon, Aidil Aziz.
Sebelum itu, Fasha memiliki dua lagi cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 12, dan Putri Raysha Jemyma, 11, hasil perkahwinan dengan Rizal Ashram Ramli. – KOSMO! ONLINE














