PETALING JAYA – Tiada apa yang lebih berharga buat seorang lelaki apabila isteri yang sakit kembali sihat dan mampu menguruskan diri.
Disebabkan itu, Ahmad Hamada Ayueman, 29, sanggup berkorban dengan menjual setiap satu barang miliknya demi mengumpul belanja rawatan isterinya, Siti Nuraifat Bueraheng, 25, atau lebih mesra dipanggil Aifat yang menderita kanser sarcoma tisu lutut tahap empat sejak tahun lalu.
“Saya tidak suka berhutang. (Jadi) saya jual apa yang ada termasuk emas. Sekarang, saya sedang berusaha menjual kereta BMW e90 untuk menampung rawatan isteri tercinta,” katanya kepada Kosmo!.
Ahmad Hamada berkata, penderitaan isterinya bermula dengan bengkak kecil pada bahagian lutut kanan selepas terbabit kemalangan dengan motosikal pada 2021, setahun sebelum mereka berkahwin.
“Tengok macam biasa (kesan kemalangan), laporan X-ray pun tiada yang patah atau retak. Aifat kuat orangnya, dia cuma berurut. Tapi lama-kelamaan bengkak itu semakin besar dan sakit.
“Selepas berkahwin, saya rasa tak sedap hati melihat keadaannya lalu membawa isteri ke hospital swasta tapi doktor pun tak pasti punca bengkak,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan isteri menghidap kanser dan sehingga kini kos rawatan telah mencecah puluhan ribu ringgit merangkumi pembedahan lutut, ujian MRI dan lampin pakai buang.
“Status kesihatan Aifat semakin merosot dan sukar bergerak. Saya juga terpaksa berhenti kerja di sebuah restoran kerana menguruskan isteri yang terlantar,” ujarnya.
Katanya, sejak awal rawatan di HKL sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tahun lalu, dia telah memohon pelbagai bantuan untuk pesakit kanser termasuk Majlis Kanser Nasional.
“Sejak dari awal rawatan sehinggalah keadaan Aifat makin tenat hari ini, masih belum ada rezeki untuk kami. Saya faham mungkin (faktor) isteri saya orang luar (Thailand), tetapi kami mempunyai sijil nikah yang sah di negara ini.
“Aifat juga mempunyai permit visa untuk mengikut suami selama empat tahun. Saya merayu kepada orang ramai yang dapat berkongsi sekiranya ada saluran lain untuk kami memohon bantuan. Saya tidak akan menyerah selagi Aifat masih bernafas,” ujar bapa kenapa dua anak itu.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya melalui akaun Maybank milik Ahmad Hamada Ayueman bernombor 5640 9852 5536.














