ALOR SETAR – Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) mencatatkan pencapaian membanggakan dengan 95 peratus selain bekas penuntutnya sering mendapat perhatian majikan.
Naib Canselor AIU, Prof. Datuk Dr Mohd. Saleh Jaafar memberitahu, perkembangan itu sangat membanggakan AIU yang sudah melahirkan lebih 704 graduan dari 60 negara.
“AIU sememangnya memantau kebolehpasaran graduan ini dan kadar ini mengambil kira definisi yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Namun pencarian pekerjaan itu bukan keutamaan AIU disebabkan kualiti graduan, mereka sering menerima tawaran pekerjaan, ” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Ke-6 AIU di kampusnya di sini hari ini.
Menurut beliau, AIU akan terus melahirkan lebih banyak graduan berkualiti dalam kalangan penuntut kurang berkemampuan dari seluruh dunia dengan misi supaya mereka berpeluang berbakti kepada komuniti masing-masing selepas menamatkan pengajian.
Sebanyak 259 graduan dari 31 negara menerima ijazah masing-masing yang disampaikan Pro Canselor AIU, Sonny Bill Williams yang juga merupakan legenda sukan ragbi.
Konvokesyen itu turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila AIU meraikan graduan sulung program Sarjana Pendidikan (Secara Penyelidikan), Politik dan Hubungan Antarabangsa dan Kewangan.
Sonny ketika ditemui memberitahu, beliau berbangga kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada institusi pengajian yang berjasa kepada generasi muda dari seluruh dunia. – KOSMO! ONLINE














