GEORGE TOWN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini dalam peringkat akhir menyiapkan laporan siasatan kebakaran sebuah rumah di Taman Rathna, Butterworth di sini sehingga mengorbankan ibu dan anak angkatnya, Rabu lalu.
Pengarah JBPM Negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, laporan lengkap akan diserahkan kepada pihak polis dalam tempoh terdekat bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kejadian itu ataupun sebaliknya.
“Semua bukti yang diperoleh sepanjang siasatan akan diserah kepada polis sebaik laporan forensik dan makmal dimuktamadkan.
“Saya tidak boleh mengulas lanjut kerana perkara ini melibatkan perundangan,” katanya di sini, hari ini.
Rabu lalu, Kosmo! Online melaporkan dua mangsa terdiri ibu dan anak angkat perempuan berusia lima tahun ditemukan maut akibat terperangkap dalam kebakaran di kediaman sewa di Taman Rathna, Butterworth dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi.
Mayat mangsa ditemukan secara bersebelahan pada jarak satu meter di bahagian ruang tamu, dekat pintu keluar utama, manakala anak lelaki wanita itu ditemukan selamat di bahagian pintu dapur dan mengalami kecederaan akibat dihempap bumbung kediaman itu. – KOSMO! ONLINE














