SIAPA sahaja yang tidak terpukau melihat kejelitaan pelakon terkenal Bollywood, Aishwarya Rai. Masakan tidak, pelakon filem Devdas itu merupakan pemenang pertandingan ratu cantik Miss World 1994.
Hal yang sama turut berlaku kepada aktor, Akshaye Khanna yang pernah membintangi dua buah filem bersama Aishwarya iaitu Ab Ab Laut Chalen dan Taal.
Menurut Akshaye dalam satu wawancara, matanya tidak dapat berkelip saat kali pertama melihat wajah Aishwarya.
“Aishwarya sangat jelita. Dia sentiasa tersenyum dan ceria. Dia bukan sahaja cantik luaran, tetapi juga dalaman.
“Setiap kali bertemu dengannya, saya tak dapat nak alihkan pandangan saya dari wajahnya. Agak memalukan bagi seorang lelaki. Tetapi dia mesti sudah terbiasa dengan orang yang sentiasa memandang wajahnya yang jelita,” katanya.
Akshaye juga berpendapat Aishwarya pelakon paling seksi di Bollywood dan pernah meneka bahawa aktres itu akan menjadi pelakon berjaya satu hari nanti.
Sayangnya selepas membintangi naskhah Taal pada tahun 1999, kedua-dua mereka tidak pernah digandingkan lagi dalam mana-mana filem.
Ketika itu, Aishwarya sedang hangat bercinta dengan Salman Khan. Namun akhirnya mengahwini Abishek Bachchan pada 2007. Akshaye pula sehingga kini hidup membujang biarpun dia antara aktor terkacak di Bollywood. Adakah dia menaruh cinta Aishwarya, siapa tahu.














