PETALING JAYA – Straits Energy Resources Berhad mengumumkan anak syarikatnya, Benua Hijau Sdn. Bhd. telah memenangi Anugerah Kelestarian Alam Sekitar bawah kategori Perlindungan Biodiversiti & Sumber Asli pada Majlis Anugerah ESG PLUS.
Anugerah itu mengiktiraf inisiatif kelestarian Benua Hijau yang telah mencatat rekod dalam memulihkan kawasan hutan terdegredasi di Setiu Wetlands State Park, salah satu kawasan tanah lembap semula jadi terbesar di Pantai Timur Semenanjung.
Merangkumi lebih 20,200 hektar, Setiu Wetlands terdiri daripada hutan di sepanjang tebing sungai, paya air tawar, paya gambut, hutan bakau, lagun air payau dengan pulau pasir bervegetasi, dasar rumput laut, dan pantai berpasir.
Ia merupakan satu-satunya tanah lembap di Malaysia dengan sembilan ekosistem yang saling berkait dan mempunyai biodiversiti pelbagai iaitu laut, pantai, dataran lumpur, lagun, muara, sungai, pulau, hutan pantai, dan hutan bakau.
Benua Hijau menyasarkan untuk menanam 100,000 pokok Gelam di Setiu Wetlands dalam tempoh lima tahun bagi memulihkan 80 hektar hutan terdegradasi.
Pada September 2025, Benua Hijau secara rasmi telah mencatat nama dalam Malaysia Book of Records untuk “Acara Penanaman Pokok Melaleuca cajuputi Terbesar,” dengan menggerakkan usaha komuniti besar-besaran yang menyaksikan lebih 12,000 anak pokok Gelam ditanam dalam satu hari.
Pengarah Urusan Straits Energy, Datuk Seri Ron Ho Kam Choy berkata, kemenangan anugerah berkenaan adalah pengiktirafan jelas terhadap visi dan strategi jangka panjang untuk inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di Straits Energy.
“Kami mengambil pendekatan proaktif dan praktikal terhadap kelestarian alam sekitar dan sosial yang kami percaya akan diterjemahkan kepada impak yang bermakna.
“Bersama rakan kongsi dan pihak berkepentingan, kami akan meneruskan usaha untuk memulihkan keindahan semula jadi Setiu Wetlands dan mencipta impak positif yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE














