PETALING JAYA – Tular satu video memaparkan keadaan kawasan perumahan di Aceh, Indonesia dipenuhi lumpur tebal selepas banjir besar surut, sehingga hanya bahagian bumbung rumah yang kelihatan.
Menerusi hantaran di pengguna Facebook, Syamsul Azmie, memaparkan kesan mendalam kepada penduduk akibat banjir dan tanah runtuh yang menenggelamkan rumah sehingga meninggalkan lumpur.
“Tinggal bumbung sahaja. Semoga dipermudahkan segala urusan mereka,” katanya pada ruang kapsyen.
Video berdurasi 25 saat itu menunjukkan keadaan menyedihkan apabila bumbung rumah menjadi satu-satunya bahagian yang masih kelihatan di permukaan.
Terdahulu, Kosmo melaporkan tragedi banjir dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah utama di Sumatera terutamanya Sumatera Barat pada 27 November lalu meninggalkan kesan cukup mendalam kepada penduduk.
Pembersihan lumpur dan pemulihan jangka panjang dijangka memakan masa yang lama, sementara krisis kesihatan seperti wabak penyakit dan kebuluran turut menjadi cabaran utama pasca banjir.
Menjengah ke ruang komen, ramai bersimpati terhadap situasi di Aceh, selain berharap bantuan segera dapat disalurkan kepada mangsa yang berdepan kerosakan harta benda serta kehilangan tempat tinggal.
“Sementara menunggu bantuan, boleh buka atap bumbung sedikit untuk laluan masuk, gali longkang sekeliling untuk laluan air hujan supaya tak masuk. Boleh ambil kelapa utk minum air bersih dan tadahan air hujan,” kata Mat Maulana.
“Kalau tanah lumpur setinggi ini. Air mesti lebih tinggi lagi daripada ini. Tak terbayang bagaimana teruknya kesan bencana alam di Sumatera dan Aceh,” komen Nurul Fizza. –KOSMO! ONLINE














