KUALA LUMPUR – UDA Holdings Berhad (UDA) terus memperkukuh peranan sebagai peneraju hartanah apabila merealisasikan pembinaan sebanyak 1,402 unit rumah mampu milik di sekitar ibu negara.
Daripada jumlah tersebut, 700 unit telah siap dibangunkan merangkumi 206 unit di Legasi Kampong Bharu dan 494 unit lagi di Residensi Akasia Jubilee.
Baki 702 unit lagi merupakan projek Residensi Akasia Raya yang kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2029.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Interim UDA, Azrudyn Rashid berkata, usaha tersebut sejajar dengan komitmen UDA untuk memperkasa komuniti setempat dan menyediakan akses pemilikan hartanah yang lebih inklusif, khususnya kepada golongan Bumiputera di bandar.
Beliau berkata, penawaran harga projek UDA pada harga RM300,000 seunit rumah juga dilihat kompetitif berbanding projek sekitar.
“Dari sudut pasaran, penawaran UDA jelas kompetitif pada kadar sekitar RM370 sekaki persegi berbanding projek sekitar dengan purata berharga kira-kira RM592 sekaki persegi.
“Projek UDA berada pada paras harga mampu milik, sekali gus membuktikan komitmen UDA terhadap kesejahteraan komuniti bandar tanpa mengabaikan tuntutan pasaran dan nilai hartanah jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca Pemangku Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan Perkhidmatan Korporat UDA, Farizal Zainudin pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Akasia Jubilee, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Menurut Azrudyn lagi, pendekatan UDA yang berteraskan harga munasabah, lokasi strategik dan keluasan kediaman yang selesa membuka peluang kepada golongan belia, pembeli rumah pertama dan warga kerja bandar untuk memiliki kediaman di pusat Kuala Lumpur.
“Prinsip ini kekal selari dengan mandat kami untuk mengimbangi kelestarian komersial dengan tanggungjawab sosial,” katanya.
Hari ini, seramai 10 lagi pembeli Residensi Akasia Jubilee hadir bagi menerima kunci kediaman baharu mereka pada majlis penyerahan kunci.
Perumahan mampu milik itu merupakan projek kedua UDA di tengah bandar Kuala Lumpur dengan keluasan unit 814 kaki persegi.
Rumah Residensi Akasia Jubilee juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti gelanggang futsal, dewan serbaguna, taman permainan kanak-kanak, surau, ruang dobi dan ruang tadika.
Kedudukannya juga mempunyai akses mudah melalui Jalan Loke Yew serta berhampiran pelbagai kemudahan dan pusat tarikan utama bandar.
Mengulas lanjut, Azrudyn berkata UDA kini sedang membangunkan Fasa Kedua iaitu Residensi Akasia Raya yang terletak bersebelahan Residensi Akasia Jubilee dan dijangka siap pada 2029.
“Pembangunan ini bukan sahaja meneruskan kesinambungan, tetapi juga menambah bilangan kediaman mampu milik dan berkualiti yang dapat ditawarkan kepada masyarakat bandar.
“Sebanyak 50 peratus unit telah dijual dan baki 50 peratus lagi iaitu 351 unit dibuka kepada penjawat awam melalui kerjasama UDA bersama Perumahan Penjawat Awam Malaysia dengan kadar pembiayaan serendah RM240,000.
“Inisiatif ini menzahirkan keprihatinan UDA agar penjawat awam turut berpeluang memiliki kediaman berkualiti di lokasi strategik Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, Zaliha berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian khusus terhadap penyediaan kediaman mampu milik di kawasan bandar.
“Ia bagi memastikan rakyat mempunyai peluang memiliki rumah yang selesa, berkualiti dan selamat pada harga berpatutan, selaras dengan peningkatan kos sara hidup dan cabaran urbanisasi masa kini.
“Ini adalah sebahagian komitmen kerajaan khususnya di Wilayah Persekutuan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kepada kesejahteraan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














